Mirror Site only. Official site  www.psychiatry.gov.my
12 April 2003 - Permai Ke Arah Akreditasi. ............. Selamat datang melayari laman web www.psychiatry.gov.my


 

Seindah namanya, Hospital Permai Johor Bahru merupakan salah satu institusi Mental di Malaysia selain Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Hospital Sentosa, Sarawak dan Hospital Bukit Padang, Sabah. Kawasannya yang permai dihiasi dengan lanskap hasil usahasama anggota dan pesakit. Hospital ini dilengkapi dengan lebih kurang 1,500 katil yang disediakan untuk pesakit-pesakit jiwa dari negeri Kelantan, Terengganu, Timur Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Sesuai dengan aspirasi kewujudannya sebagai sebuah institusi rawatan dan pemulihan sakit jiwa, ia telah membina asas yang kukuh dalam melaksanakan fungsi-fungsi rawatan dan pemulihan psikiatri. Perubahan dan perkembangan dari masa kesemasa dalam dunia psikiatri, menjadikan Hospital Permai mengambil inisiatif, keterlibatan dan bertindak selaras dengan dasar negara. Perkhidmatan Hospital Permai bukan sahaja meletakkan aspirasi tersebut dalam rangka pemikiran semata-mata, malah berusaha bersama-sama keseluruhan anggotanya, menterjemah kerangka pemikiran itu dalam bentuk pelaksanaan.

Hospital Sakit Jiwa Pertama di Johor.

Pada tahun 1916, sebuah hospital sakit jiwa telah dibina di Batu 3, Jalan Sekudai, Johor Bahru. Hospital ini telah dinamakan Mental Assylum, tetapi lebih dikenali sebagai Hospital Gila Batu 3. Tapak hospital ini sekarang dijadikan tapak senaman Pantai Lido. Sebelum hospital ini dibina, pesakit jiwa mendapat rawatan di Hospital Woodbridge, Singapura.

Tujuan utama hospital ini dibina adalah untuk mengasingkan "orang gila" dari masyarakat. Pada ketika itu belum ada rawatan menggunakan ubat kimia atau rawatan kejutan elektrik (electro-convulsive theraphy atau ECT). Kepercayaan bahawa sakit gila disebabkan oleh rasukkan hantu syaitan menjadi pegangan masyarakat pada masa itu. Untuk mengendalikan pesakit ini, mereka selalunya dikurung atau dipasung (restrained). Dengan adanya assylum, pesakit-pesakit ini ditempatkan disitu supaya tidak mengganggu orang ramai.

Lunatic Assylum.

Pada tahun 1929, hospital ini telah ditukar namanya kepada Lunatic Assylum. Keadaan pada waktu malam di kawasan hospital sangat gelap ketika itu. Kadang kala binatang buas seperti harimau dan babi hutan merayau-rayau di kawasan rumah pekerja dan hospital.

Johor New Mental Hospital.

Pada tahun 1936, Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Ibrahim telah berkenan untuk memindahkan Hospital Gila di Batu 3 ke tempat yang lebih sesuai. Baginda telah memerintahkan PMO pada masa itu, Dr. G.H. Garlick untuk mencari tempat baru.

Dr. Garlick dengan bantuan isteri beliau telah menemui satu kawasan hutan berbukit dan berlurah. Setelah diperkenankan oleh Sultan, maka pada tahun 1936 kerja-kerja pembinaan telah dimulakan oleh Syarikat Dobb dari England. Seorang jurukur, Encik Madhu Singh telah ditugaskan untuk membuat jalan masuk sebelum kerja pembinaan dimulakan. Pada tahun 1937, hospital tersebut telah siap dibina dengan perbelanjaan Rm1,618,100.00. Ia telah dibuka dengan rasminya pada 30 Oktober 1937.

Luas kawasan hospital ialah 635 ekar tetapi kawasan yang digunakan cuma 110 ekar sahaja. Hospital ini terletak kira-kira 16 km dari Bandar Johor Bahru. Hospital ini dinamakan Johor Mental Hospital. Ia adalah salah sebuah hospital sakit jiwa yang termoden ketika itu. Dalam akhbar Malay Tribune keluaran 1937 menyatakan bahawa hospital ini adalah yang kedua terbaik selain dari yang ada di Australia ketika itu.

Perang Dunia Kedua.

Singapura telah di bom pada 8 Disember 1941 jam 4.00 pagi oleh tentera Jepun. Dari hospital ini jelas kedengaran bunyi tembakan serta letupan. Tentera Australia dan semua kakitangan yang ada berpindah ke Singapura seminggu sebelum tentera Jepun memasuki Johor Bahru.

Semasa Pendudukkan Jepun, Hospital Permai masih lagi memberikan khdmatnya, bukan sahaja sebagai tempat perawatan dan pemulihan, tetapi juga sebagai tempat penduduk sekitar berlindung dari menjadi mangsa pengeboman Jepun dan perang yang berleluasa.

Kedatangan Jepun ke sini telah membawa satu tragedi yang sukar dilupai oleh warga Permai apabila Dr. Perinbam dan Dr. S.D. Luther dibunuh dengan kejamnya di hadapan kakitangan hospital. Tragedi berdarah

Selepas Perang.

Pada tahun 1945, tentera British kembali berkuasa. Mereka mengambil alih hospital ini dan dijadikan markah Jungle Squad. Pada masa itu atendan-atendan tidak lagi bekerja di hospital. Kebanyakkan daripada mereka bekerja di Hospital Besar (HSA) dan selebihnya mencari pekerjaan lain. Pada tahun 1951, proses pengambilan semula pekerja untuk bekerja semula di Mental Hospital telah dilaksanakan. Seramai 42 orang, kebanyakkanya bekas Atendan Hospital ini mula menjalankan kerja menebang dan membersihkan kawasan hospital.

Pada 1 April 1952, Mental Hospital telah beroperasi semula. Dr. Ratnasamy, diikuti oleh Dr. David Lennox yang menjadi Penguasa Perubatan ketika itu. Dr. David Lennox adalah Pakar Perubatan Jiwa yang pertama di hospital ini. Beliau banyak membawa perubahan dalam aspek perawatan sakit jiwa.

Hospital Permai Mengambil Nama.

Pada tahun 1972, Y.B. Tun Sardon B Hj Jubir, Menteri Kesihatan Malaysia ketika itu telah dengan rasminya menamakan hospital ini dengan nama "Hospital Permai".

Melalui perjalanan masa, Hospital Permai bergerak meluncur merentasi zaman . Permai menggembeling tenaga untuk membuat perancangan masa depan. Program mengintegrasikan dan menggembeling perkhidmatan psikiatri ke daerah-daerah dan Pusat-Pusat Kesihatan telah menjadi kenyataan. Dengan ini bermakna terjadi penyepaduan kesihatan Mental ke dalam program penjagaan kesihatan primer.

Langkah-langkah yang telah diambil ke arah mencapai matalamat menjadikan Hospital Permai sebagai institusi yang cemerlang dalam pemulihan Mental. Ini tidak pula bermakna Permai hanya tertumpu ke arah pemulihan semata-mata. Sebenarnya Permai juga berazam agar menjadi pusat pendidikan dan latihan bagi mereka yang memerlukan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang psikiatri.

rujukan: Buku Sambutan 50 Tahunan

Laman resmi  www.psychiatry.gov.my atau Mirror Site www.psychiatry.tripod.com
Disediakan/dikemaskini pada 14/04/2003
Jawatankuasa IT Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru
Tel: 07-2373333 Ext 105